PULANG SEBAGAI HAMBA

Salam

entri ini ialah SALINAN ASAL dari BICARANOBISHA dalam catatan beliau yang bertajuk "PULANG SEBAGAI HAMBA (2) : Menziarahi Makam Rasulullah s.a.w."

Sekadar renungan bersama..

*****
Selepas solat Subuh, saya pulang ke hotel. Walaupun sudah hampir 24 jam tidak tidur dan badan agak keletihan, hati saya cukup gembira. Itulah pertama kali saya dapat bersolat di Masjid Nabawi.

Madinah tempat letaknya Masjid Nabawi ada banyak keistimewaan. Di sinilah Rasulullah s.a.w. membangunkan sebuah tamadun, membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya. Sekiranya dibandingkan perjalanan yang ditempuhi  oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu berhijrah dari Mekah ke Madinah, apalah sangat keletihan saya terbang dengan pesawat Malaysian Airlines Boeing 777-200 ke Jeddah dan seterusnya menaiki bas berhawa dingin ke Madinah.

“Usah mengeluh keletihan,” bisik hati kecil saya. Dalam kepenatan itu, saya ingat pesan Ustaz Haji Ahmad Bukhori Ghazali: datanglah ke Mekah dan Madinah sebagai hamba, dan pulanglah juga sebagai hamba.

Selepas sarapan, Ustaz Haji Ahmad Bukhori meminta kami semua menunggu di lobi hotel sebelum jam 7 pagi. Destinasinya satu – menziarahi Makam Rasulullah s.a.w. dan Raudah.

Seperti orang lain, hati saya cukup gembira. Seronok kerana itulah kali pertama menziarahi Makam Rasulullah s.a.w. yang dicintai. Walaupun berulangkali menyebut nama Baginda s.a.w., namun saya umat akhir zaman ini belum pernah bertemu dengan Rasullullah s.a.w.

Cukuplah untuk saya berada hampir dengan Makam Baginda s.a.w. sebagai penyataan cinta seorang umat kepada Rasulnya. Menziarahi Makam Rasulullah s.a.w. bukanlah satu kewajipan. Ia adalah satu proses dari rentetan ziarah ke Masjid Nabawi. Proses ini akhirnya menjadi pengalaman yang cukup bermakna bagi saya.

Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat berbeza pendapat di manakah Baginda s.a.w. sepatutnya dikebumikan. Sewaktu mereka berbincang, Abu Bakar r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Seorang Nabi dikuburkan di tempat dia wafat.

Dari situlah para sahabat membuat keputusan untuk memakamkan Baginda s.a.w. di tempat tidurnya; iaitu di kamar rumah Aisyah r.a. Makam Rasulullah s.a.w. berada pada bahagian selatan kamar Aisyah r.a. sedangkan Aisyah r.a. terus tidur di bahagian utara; tanpa ada sebarang sekatan antara keduanya.

Apabila Abu Bakar as-Siddiq r.a. wafat, maka Aisyah r.a. mengizinkan mayatnya dikebumikan di sebelah Rasullullah s.a.w. Kepala Abu Bakar as-Siddiq r.a. diletakkan separas dengan bahu Rasulullah s.a.w. Antara makam keduanya dan tempat tidur Aisyah r.a., tidak ada tirai atau penutup. Aisyah r.a. berkata, “Mereka adalah suami dan ayahku.”

Bagaimanapun, setelah Umar al-Khattab r.a. wafat dan dikebumikan di sebelah kubur Abu Bakar as-Siddiq r.a., barulah Aisyah r.a. membuat tirai bagi memisahkan ketiga-tiga makam tersebut dengan tempat tidurnya, kerana menurut Aisyah r.a., Umar r.a. bukan muhrimnya.

Sebelum dibawa menziarahi Makam Rasulullah s.a.w. dan dua sahabat r.a. itu,  Ustaz Haji Ahmad Bokhari sekali lagi mengingatkan kami agar tidak berdoa kepada makam-makam tersebut.

“Berdoa dan memintalah kepada Allah s.w.t.; bukan kepada manusia,” pesan Ustaz berkali-kali. Ada kala dalam loghat Terengganu; sekali dalam bahasa baku.

Pada jemaah diingatkan:

“Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kepadanya (Muhammad s.a.w.) dan ucapkan salam penghormatan kepadanya.” (al-Ahzab: 56)

Di Masjid Nabawi, kami dibawa masuk melalui pintu Bab-us-Salam. Itulah satu-satunya pintu menuju ke Makam Rasulullah s.a.w. Walaupun masih pagi, orang agak ramai di Masjid Nabawi. Saya menapak masuk menuju Makam Rasulullah s.a.w. perlahan-lahan mengikut barisan. Semakin hampir, hati saya berdebar-debar. Semakin kencang degup jantung ketika itu. Saya semakin menghampiri makam kekasih Allah s.w.t.

Tiba di hadapan Makam Baginda s.a.w., saya ucapkan salam “Assalamualaika ya Rasulullahi warahmatullahi wabarakatuh” (Salam sejahtera, rahmat Allah s.w.t. dan keberkahan-Nya untuk mu, ya Rasulullah s.a.w).

Tatkala itu, airmata terus mencurah-curah tak dapat ditahan-tahan lagi. Saya cuba menahan diri untuk tidak menangis di Makam Rasulullah s.a.w.; namun saya tidak berdaya.

Airmata saya terus bergenang dan membasahi pipi. Walaupun dipisah masa, terasa Rasulullah s.a.w. masih di sisi!

*****

Bergenang air mata.. Mohon kesempatan untuk menziarah makam baginda.. insyaAllah..

Maksud sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang menziarahi aku selepas aku wafat seolah-olah dia menziarahi aku semasa aku hidup."

Rindukan Baginda..

bye~ 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

apa itu Diploma Sains Kuantitatif ?

Beli Rohypnol atau GHB di Malaysia ?

Tanah dan Relung